Eksperimen komuniti di Amerika dan Britain Robert Owen

New Moral World, pewaris New Harmony yang digambarkan oleh Owen. Golongan Owenites telah membakar batu bata untuk membinanya, tetapi ia tidak pernah dibina.

Untuk menguji daya maju ideanya untuk komuniti kerja yang mampu diri, Owen memulakan eksperimen dalam kehidupan komunal di Amerika pada tahun 1825. Antara yang paling terkenal adalah yang ditubuhkan di New Harmony, Indiana. Daripada 130 percubaan kemasyarakatan yang dapat dikenal pasti di Amerika sebelum Perang Saudara Amerika, sekurang-kurangnya enam belas adalah komuniti Owenite atau dipengaruhi Owenite. New Harmony adalah eksperimen Owen yang paling awal dan paling bercita-cita tinggi. [14]

Owen dan anaknya, William, berlayar ke Amerika pada Oktober 1824 untuk menubuhkan komuniti percubaan di Indiana. [22] Pada bulan Januari 1825 Owen menggunakan sebahagian dana sendiri untuk memuktamadkan pembelian sebuah bandar yang sedia ada termasuk 180 bangunan dan beberapa ribu ekar tanah di sepanjang Sungai Wabash di Indiana . (Pada tahun 1824, Persatuan Harmoni George Rapp, kumpulan agama yang memiliki harta itu dan telah mengasaskan kampung komunal Harmony (atau Harmonie) di tapak pada tahun 1814, memutuskan untuk berpindah ke Pennsylvania . ) Owen menamakan semula New Harmony dan menubuhkan kampung sebagai model pendahulunya untuk komuniti utopia. [16] [23] [24]

Owen cuba meraih sokongan untuk visi sosialisnya di kalangan pemikir, pembaharu, intelektual, dan orang awam Amerika. Pada 25 Februari dan 7 Mac 1825, Owen hadir di Dewan Perwakilan AS untuk berucap di hadapan Kongres dan ahli-ahli pemerintah lain untuk menggariskan visi dan rancangan beliau untuk mendirikan komuniti utopia di New Harmony, Indiana, serta kepercayaan sosialisnya.[16][25] Antara yang hadir untuk mendengar pendapatnya termasuk tiga bekas presiden AS (John Adams, Thomas Jefferson, dan James Madison), selain Presiden AS James Monroe yang bakal tamat tempoh serta penggantinya John Quincy Adams.[26] Perjumpaan ini boleh dikatakan merupakan perbincangan pertama mengenai sosialisme di Amerika dan pastinya merupakan langkah gergasi yang mencetuskan perbincangan mengenai fahaman sosialis di Amerika Syarikat. Owenisme, antara ideologi sosialis pertama yang aktif di Amerika Syarikat, dianggap titik permulaan pergerakan Sosialis moden di Amerika Syarikat.

Owen menjemput William Maclure, seorang saintis kaya dan dermawan berketurunan Scotland yang tinggal di Philadelphia untuk bekerjasama di New Harmony. Maclure menjadi rakan kewangan Owen. Penglibatan Maclure dalam projek itu kemudiannya menarik para ilmuwan, pendidik, dan seniman seperti Thomas Say, Charles-Alexandre Lesueur, dan Madame Marie Duclos Fretageot, antara lain. Individu-individu ini membantu menubuhkan komuniti utopia di New Harmony sebagai pusat pembaharuan pendidikan, penyelidikan ilmiah, dan ekspresi kesenian.[16][27]

Walaupun berhasrat untuk membina sebuah "Kampung Perpaduan dan Kerjasama Bersama", namun rancangan beliau tidak pernah dizahirkan sepenuhnya, dan Owen kembali ke Britain untuk meneruskan kerjanya. Sepanjang pengundurannya yang berlarutan dari New Harmony, Owen menyerahkan eksperimen itu kepada pengurusan harian anak-anaknya Robert Dale Owen dan William Owen, serta rakan perniagaannya Maclure. Eksperimen New Harmony ternyata gagal dari segi ekonomi dengan riwayatnya hanya kira-kira dua tahun, tetapi ia menarik lebih dari seribu penduduk pada penghujung tahun pertama. Komuniti sosialistik itu akhirnya dibubarkan pada tahun 1827. Walau bagaimanapun, ramai saintis, pendidik, dan artis di bandar itu, dan penduduk lain, termasuk empat anak lelaki Owen iaitu Robert Dale, William, David Dale, dan Richard Dale Owen, dan anak perempuannya Jane Dale Owen Fauntleroy, tinggal di New Harmony selepas eksperimen sosial berakhir.[16][27]

Eksperimen utopia lain di Amerika Syarikat termasuk penempatan komunal di Blue Spring, berhampiran Bloomington, Indiana; Yellow Springs, Ohio; dan komuniti Owenite Forestville Commonwealth di Earlton, New York, di samping projek-projek lain di New York, Pennsylvania, dan Tennessee. Hampir semua eksperimen ini berakhir sebelum New Harmony dibubarkan pada April 1827.[28]

Komuniti utopia ciptaan Owen telah menarik minat orang ramai yang rata-rata mempunyai cita-cita tinggi. Walau bagaimanapun, mereka juga termasuk orang gelandangan, pengembara dan kaki-kaki reformis yang lain. Bak kata anak lelaki Owen, David Dale Owen, komuniti itu telah menarik "seangkatan Radikal yang beraneka ragam", "pemegang prinsip yang kuat," "<i>latitudinarian</i> yang jujur, dan ahli teori yang malas," dengan sedikit "perantara yang tidak bertanggungjawab." [29]

Josiah Warren, salah seorang peserta di New Harmony, menegaskan bahawa komuniti itu ditakdirkan untuk gagal kerana kekurangan kedaulatan individu dan harta peribadi. Dalam menggambarkan komuniti Owenite, Warren menjelaskan: "Kami mempunyai sebuah dunia mini, di mana kami telah mengulangi revolusi Perancis yang berkesudahan dengan hati yang berputus asa sebagai ganti kepada mayat. ... Nampak gayanya kita tertakluk kepada hukum kepelbagaian alam semulajadi ... "kepentingan bersatu" kami bertentangan langsung dengan keindividuan orang dan keadaan serta naluri pemeliharaan diri...." [30] Pemerhatian Warren tentang punca kegagalan komuniti menyumbang kepada perkembangan fahaman anarkisme individualis Amerika, yang mana beliaulah ahli teori asalnya. Sesetengah ahli sejarah telah mengaitkan keruntuhan eksperimen New Harmony kepada perselisihan sesama ahli-ahlinya. [31]

Eksperimen sosial juga dilangsungkan di Scotland pada tahun 1825, apabila seorang pengikut Owenite bernama Abram Combe cuba membangunkan eksperimen utopia di bandar Orbiston berhampiran Glasgow, tetapi projek itu gagal setelah percubaan selama dua tahun.[32] Pada tahun 1830-an ada lagi eksperimen koperasi sosialis yang dijalankan di Ireland dan Britain. Yang penting sekali adalah koperasi di Ralahine yang ditubuhkan pada tahun 1831 di County Clare, Ireland, dan satu lagi di Tytherley yang bermula pada tahun 1839 di Hampshire, England. Koperasi Ralahine terampil sebagai kejayaan yang luar biasa selama tiga setengah tahun sehingga pemiliknya terpaksa menjual kepentingannya dalam perusahaan itu setelah rugi besar dalam perjudian. Koperasi Tytherley yang dikenali sebagai Harmony Hall, atau Queenwood College, direka oleh arkitek Joseph Hansom,[33] juga menemui kegagalan. Satu lagi eksperimen sosial Manea Colony, di Isle of Ely, Cambridgeshire, England dilancarkan pada tahun 1830-an oleh William Hodson, seorang pengikut Owenite yang lain; juga runtuh dalam beberapa tahun. Hodson berpindah ke Amerika Syarikat. Tapak Koloni Manea digali oleh Unit Arkeologi Cambridge (CAU) yang berpangkalan di Cambridge University.

Rujukan

WikiPedia: Robert Owen http://www.answers.com/topic/1828?cat=technology#h... http://www.fotolibra.com/gallery/1305183/robert-ow... http://www.online-literature.com/forums/showthread... http://www.archive.coop/collections/personal-paper... http://faculty.evansville.edu/ck6/bstud/robtowen.h... http://socialarchive.iath.virginia.edu/ark:/99166/... http://catalogo.bne.es/uhtbin/authoritybrowse.cgi?... http://bioguide.congress.gov/scripts/biodisplay.pl... http://aleph.nli.org.il/F/?func=find-b&local_base=... http://data.bibliotheken.nl/id/thes/p068459211